Thursday, April 3, 2008

Pengenalan

Bismillahir Rahmanir Rahim.
Alhamdulillahi Rabbil'alamin Wassalatuwassalamu Ala Rasulillah Wamanu Walah.
Asyhaduanl Lailaha Illallah Wa Asyhaduanna Muhammadan 'Abduhu Wa Rasulluh.
Amma ba'du.

Ketika Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah baginda diwahyukan supaya mendirikan sebuah masjid sebagai pusat ibadah. Semasa itu bangunan masjid didirikan secara gotong royong di atas tanah yang diwakafkan. Segala urusan penyelenggaraan dilakukan secara suka rela. Jika baginda memerlukan bantuan kewangan berpusu-pusu para sahabat baginda menghulurkan bantuan. Kini kita telah meninggalkan zaman itu hampir 1,500 tahun. Masjid kini tidak seperti yang digambar dengan masjid zaman Rasulullah s.a.w. dari segi perbelanjaan pembinaan dan pengurusannya yang memerlukan satu dana khusus.

Boleh dikatakan seluruh masjid di Malaysia ini mempunyai tabung masjid yang tersendiri. Kebiasaannya tabung masjid ini dikendalikan oleh ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang diketuai oleh Bendahari. Wang sumbangan individu atau organisasi akan diberikan kepada bendahari untuk dimasukkan kedalan Akaun Tabung Masjid. Kebiasaannya wang masjid ini akan disimpan dalam bank tertentu atas nama Ahli Jawatankuasa Masjid. Sebarang sumbangan boleh dimasukkan terus ke dalam nombor akaun bank berkenaan secara on-line. Hampir semua masjid menyediakan peti-peti besi yang ditempatkan di dalam atau luar masjid bagi memudahkan ahli jamaah untuk menderma. Terdapat juga pihak masjid memungut derma untuk tabung masjid ini pada setiap hari Jumaat dengan menggerakkan tabung-tabung kecil dari saf ke saf yang lain. Mereka yang bermurah hati akan memasukkan wang derma dalam tabung berkenaan. Kini kita dapati wang masjid-masjid walaupun telah digunakan untuk tujuan pengurusan masjid tetapi masih mempunyai baki simpanan yang banyak.

Sering kali kita terdengar atau terbaca di dada-dada akhbar tentang kecurian wang tabung masjid. Peti besi dipecahkan oleh mereka yang tidak bertanggung jawab. Kebiasaannya tuduhan dilemparkan kepada kanak-kanak nakal sementara AJK atau pegawai masjid adalah tidak terlibat sama sekali. Terdapat juga kebocoran wang masjid kepada pihak-pihak tertentu. Ini semua terjadi kerana tidak ada satu peruntukan undang-undang dan penguatkuasaan terhadap keselamatan wang tabung masjid. Pada hal jika ianya diuruskan dengan baik dan berkesan maka perkara ini tidak boleh berlaku dengan sewenang-wenangnya.

Masjid Rasulullah s.a.w. merupakan masjid contoh dalam memberikan bantuan kepada mereka yang layak menerima. Sedekah yang disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. segera dihulurkan kepada mereka yang memerlukan. Masyarakat luar yang menginap di masjid Rasulullah s.a.w. sentiasa mendapat bekalan makanan untuk menyara hidup mereka semasa mereka berada di Madinah. Orang-orang fakir miskin berkunjung ke masjid mengharap bantuan telah diberi oleh Rasulullah s.a.w. dari sumbangan orang ramai.

Kini masyarakat kita kurang mengambil contoh dari masjid Rasulullah s.a.w. kerana masih ramai mereka yang daif, fakir, miskin, janda, yatim, cacat dan sebagainya yang berada di sekitar masjid tidak mendapat pembelaan. Pada hal jika fungsi institusi Tabung Masjid ini berjalan mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. sudah tentu masyarakat berkenaan tidak menganggung penderitaan. Kita tidak ada alasan kerana wang Tabung Masjid adalah mencukupi untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik ini.

Pihak masjid juga berperanan membuka seluas-luasnya peluang bersedekah kalangan ahli kariah dan para jamaah. Dengan galakan supaya menderma yang dipromosikan kepada ahli jamaah dan ahli kariah dapat meningkatkan lagi jumlah dana. Berbagai-bagai cara boleh difikirkan kaedah promosi berkenaan. Semakin banyak wang dapat dikumpulkan maka semakin banyak pahala yang mereka kumpulkan untuk hari akhirat mereka di samping itu dengan jumlah wang yang besar dapat dimanfaatkan lagi kepada projek yang lebih besar untuk menfaat kepada Islam dan umat Islam.

Untuk memantapkan lagi aliran wang Tabung Masjid ini ia memerlukan kepada pengurusan yang lebih cekap. Mereka yang dilantik sebagai pengurus dana Tabung Masjid ini memerlukan ilmu pengetahuan yang mencukupi dalam bidang pengurusan kewangan. Sudah semestinya mereka yang layak menjawat jawatan bendahari masjid ini berkelulusan dalam bidang akaun atau kewangan. Pencapaian akademik adalah melayakkan mereka memegang jawatan berkenaan.

Mereka yang kurang faham dalam pengurusan kewangan sudah tentu akan cederung kepada kesilapan mengurus wang Tabung Masjid. Walaupun mereka amanah dalam memegang wang Tabung Masjid ini oleh kerana tidak cekap dalam bidang berkenaan maka penyelewengan akan mudah berlaku. Kecuaian ini mengakibatkan pihak berkenaan menaggong dosa di sisi Allah s.w.t. Untuk megelak dari dosa berkenaan maka satu kaedah pengurusan kewangan yang dikendalikan oleh mereka yang berpengetahuan dan berpengalaman amat diperlukan.



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home