Friday, April 4, 2008

Pernyataan Masalah

Di antara masalah yang dihadapi ialah jumlah kutipan wang tabung masjid adalah kurang menggalakkan kerana jika dibandingkan dengan jamaah dalam kariah berkenaan adalah tidak sesuai wang derma yang diperolehi pada hal wang berkenaan amat diperlukan untuk pengurusan masjid dan untuk membantu masyarakat sekitar yang memerlukan.

Apakah punca-punca yang menyebabkan ahli kariah kurang berminat untuk menghulurkan derma kepada masjid. Adakah disebabkan kurang kesederan atau tidak mendapat galakkan daripada pihak masjid.

Di samping itu ada juga masjid yang memiliki wang yang cukup banyak tetapi tidak dimanfaatkan seperti yang dikehendaki dalam Islam. Wang berkenaan beku begitu sahaja dalam bank-bank berkenaan. Mereka tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk menyampaikan amanah wang itu kepada yang berhak menerimanya.

Kedapatan juga duit masjid yang terkumpul dalam peti besi telah dipecahkan oleh mereka yang tidak bertanggung jawab. Perbuatan ini amat memalukan umat Islam. Persoalannya adakah masalah ini dikendalikan dengan cekap dan sempurna atau dibiarkan begitu sahaja.

Mereka yang disyaki terlibat dalam jenayah berkenaan adakah pihak berkuasa membuat siastan secara terpeinci tentang kehilangan wang berkenaan. Hingga kini tidak ada satu kaedah bagi mengawal wang berkenaan supaya tidak berlaku kehilangan atau kebocoran.

Masalah seterusnya ialah mereka yang memegang jawatan bendahari Tabung Masjid adalah kurang berpengetahuan dalam ilmu simpan kira-kira serta kurang berkebolehan dalam pengurusan akaun dan kewangan. Kebiasaan bendahari masjid adalah mereka yang dilantik oleh penduduk berkenaan yang sekitar umur enam puluhan yang tidak ada pendidikan kewangan dan akaun. Akibatnya kewangan Tabung Masjid tidak dapat diaudit dengan cara yang betul dan tepat.

Kini kita juga boleh lihat sendiri wang Tabung Masjid tidak disalurkan kepada mereka yang memerlukan seperti anak yatim, fakir, miskin, mualaf, musafir yang terlantar, mangsa kebakaran, mangsa banjir dan sebagainya pada hal jumlah wang dalam bank mencecah ratusan ribu ringgit. Kesedaran membantu mangsa-mangsa ini amat rendah dan cetek dalam kalangan AJK masjid. Pada hal wang derma itu adalah untuk kegunaan umum selain dari dikhusukan untuk keperluan masjid.


------------------------------------------------------
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com


Thursday, April 3, 2008

Pengenalan

Bismillahir Rahmanir Rahim.
Alhamdulillahi Rabbil'alamin Wassalatuwassalamu Ala Rasulillah Wamanu Walah.
Asyhaduanl Lailaha Illallah Wa Asyhaduanna Muhammadan 'Abduhu Wa Rasulluh.
Amma ba'du.

Ketika Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah baginda diwahyukan supaya mendirikan sebuah masjid sebagai pusat ibadah. Semasa itu bangunan masjid didirikan secara gotong royong di atas tanah yang diwakafkan. Segala urusan penyelenggaraan dilakukan secara suka rela. Jika baginda memerlukan bantuan kewangan berpusu-pusu para sahabat baginda menghulurkan bantuan. Kini kita telah meninggalkan zaman itu hampir 1,500 tahun. Masjid kini tidak seperti yang digambar dengan masjid zaman Rasulullah s.a.w. dari segi perbelanjaan pembinaan dan pengurusannya yang memerlukan satu dana khusus.

Boleh dikatakan seluruh masjid di Malaysia ini mempunyai tabung masjid yang tersendiri. Kebiasaannya tabung masjid ini dikendalikan oleh ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang diketuai oleh Bendahari. Wang sumbangan individu atau organisasi akan diberikan kepada bendahari untuk dimasukkan kedalan Akaun Tabung Masjid. Kebiasaannya wang masjid ini akan disimpan dalam bank tertentu atas nama Ahli Jawatankuasa Masjid. Sebarang sumbangan boleh dimasukkan terus ke dalam nombor akaun bank berkenaan secara on-line. Hampir semua masjid menyediakan peti-peti besi yang ditempatkan di dalam atau luar masjid bagi memudahkan ahli jamaah untuk menderma. Terdapat juga pihak masjid memungut derma untuk tabung masjid ini pada setiap hari Jumaat dengan menggerakkan tabung-tabung kecil dari saf ke saf yang lain. Mereka yang bermurah hati akan memasukkan wang derma dalam tabung berkenaan. Kini kita dapati wang masjid-masjid walaupun telah digunakan untuk tujuan pengurusan masjid tetapi masih mempunyai baki simpanan yang banyak.

Sering kali kita terdengar atau terbaca di dada-dada akhbar tentang kecurian wang tabung masjid. Peti besi dipecahkan oleh mereka yang tidak bertanggung jawab. Kebiasaannya tuduhan dilemparkan kepada kanak-kanak nakal sementara AJK atau pegawai masjid adalah tidak terlibat sama sekali. Terdapat juga kebocoran wang masjid kepada pihak-pihak tertentu. Ini semua terjadi kerana tidak ada satu peruntukan undang-undang dan penguatkuasaan terhadap keselamatan wang tabung masjid. Pada hal jika ianya diuruskan dengan baik dan berkesan maka perkara ini tidak boleh berlaku dengan sewenang-wenangnya.

Masjid Rasulullah s.a.w. merupakan masjid contoh dalam memberikan bantuan kepada mereka yang layak menerima. Sedekah yang disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. segera dihulurkan kepada mereka yang memerlukan. Masyarakat luar yang menginap di masjid Rasulullah s.a.w. sentiasa mendapat bekalan makanan untuk menyara hidup mereka semasa mereka berada di Madinah. Orang-orang fakir miskin berkunjung ke masjid mengharap bantuan telah diberi oleh Rasulullah s.a.w. dari sumbangan orang ramai.

Kini masyarakat kita kurang mengambil contoh dari masjid Rasulullah s.a.w. kerana masih ramai mereka yang daif, fakir, miskin, janda, yatim, cacat dan sebagainya yang berada di sekitar masjid tidak mendapat pembelaan. Pada hal jika fungsi institusi Tabung Masjid ini berjalan mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. sudah tentu masyarakat berkenaan tidak menganggung penderitaan. Kita tidak ada alasan kerana wang Tabung Masjid adalah mencukupi untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik ini.

Pihak masjid juga berperanan membuka seluas-luasnya peluang bersedekah kalangan ahli kariah dan para jamaah. Dengan galakan supaya menderma yang dipromosikan kepada ahli jamaah dan ahli kariah dapat meningkatkan lagi jumlah dana. Berbagai-bagai cara boleh difikirkan kaedah promosi berkenaan. Semakin banyak wang dapat dikumpulkan maka semakin banyak pahala yang mereka kumpulkan untuk hari akhirat mereka di samping itu dengan jumlah wang yang besar dapat dimanfaatkan lagi kepada projek yang lebih besar untuk menfaat kepada Islam dan umat Islam.

Untuk memantapkan lagi aliran wang Tabung Masjid ini ia memerlukan kepada pengurusan yang lebih cekap. Mereka yang dilantik sebagai pengurus dana Tabung Masjid ini memerlukan ilmu pengetahuan yang mencukupi dalam bidang pengurusan kewangan. Sudah semestinya mereka yang layak menjawat jawatan bendahari masjid ini berkelulusan dalam bidang akaun atau kewangan. Pencapaian akademik adalah melayakkan mereka memegang jawatan berkenaan.

Mereka yang kurang faham dalam pengurusan kewangan sudah tentu akan cederung kepada kesilapan mengurus wang Tabung Masjid. Walaupun mereka amanah dalam memegang wang Tabung Masjid ini oleh kerana tidak cekap dalam bidang berkenaan maka penyelewengan akan mudah berlaku. Kecuaian ini mengakibatkan pihak berkenaan menaggong dosa di sisi Allah s.w.t. Untuk megelak dari dosa berkenaan maka satu kaedah pengurusan kewangan yang dikendalikan oleh mereka yang berpengetahuan dan berpengalaman amat diperlukan.



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com